Wednesday, March 23, 2011

Al-Fatihah & Berkabung



Semua pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam negeri dan Persekutuan serta badan-badan berkanun di seluruh Terengganu dikehendaki mematuhi peraturan pemakaian sepanjang tempoh berkabung 40 hari mulai 21 Mac hingga 29 April ini berikutan kemangkatan almarhum bonda Yang di-Pertuan Agong, Tengku Ampuan Bariah Sultan Hisahmuddin Alam Shah.

Pegawai dan kakitangan lelaki Melayu perlu memakai songkok berlilit kain putih berukuran satu inci, manakala pegawai dan kakitangan wanita Melayu pula harus berselendang atau berkain tudung warna putih.

Sementara pegawai dan kakitangan yang berbangsa lain perlu mengenakan tali leher hitam atau lilitan hitam (armband) di sebelah kanan bagi lelaki dan lilitan lengan hitam (armband) bagi wanita. Sementara polis dan tentera berpakaian sebagaimana yang ditetapkan oleh peraturan masing-masing.


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengumumkan peraturan perkabungan itu di Kediaman seri Iman, Kuala Terengganu, petang ini (22 Mac).

Selain itu, beliau berkata segala perhimpunan ramai dan majlis atau acara anjuran Kerajaan dan bukan kerajaan yang berunsurkan hiburan juga ditegah sepanjang tempoh perkabungan kecuali majlis atau acara yang berunsurkan keagamaan, pendidikan riadah dan ilmiah.
“Jika ada pihak yang tidak menghormati dan ingkar peraturan sepanjang tempoh perkabungan dengan mengadakan majlis hiburan, mereka boleh dikenakan tindakan. Bagaimanapun, sebarang majlis itu perlu mendapatkan permit daripada pihak berkuasa tempatan dan polis terlebih dahulu.
“Majlis kenduri kahwin juga tidak boleh diselitkan dengan acara hiburan. Perlawanan bola sepak adalah suatu bentuk riadah dan ia boleh diteruskan seperti biasa,” katanya.

Menteri Besar berkata, semua bendera negeri dan lain-lain bendera kecuali Jalur Gemilang di jabatan dan bangunan kerajaan negeri, persekutuan, badan-badan berkanun serta pihak berkuasa tempatan, bangunan perniagaan, perusahaan dan kediaman hendaklah mengibarkan bendera separuh tiang.

Beliau juga menyarankan orang ramai untuk turut sama mematuhi peraturan sepanjang tempoh perkabungan itu.

“Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu diminta mengeluarkan arahan kepada semua imam dan bilal masjid serta surau kerajaan supaya melakukan tahlil sepanjang tujuh hari berikutan kemangkatan almarhum,” katanya.
Almarhum Tengku Ampuan Bariah, 78, mangkat jam 1.07 pagi semalam, di Hospital Seri Kota, Klang, Selangor.

Jenazah almarhum kemudiannya diterbangkan dari Pangkalan Udara Tentera Diraja Malaysia (TUDM) Subang dengan pesawat C130 TUDM kira-kira 10.45 pagi dengan turut diiringi oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah serta tiga anakanda baginda.

Jenazah almarhum selamat disemadikan di Makam Diraja di Masjid al-Muktafi Billah Shah, Ladang, bersebelahan dengan makam suaminya almarhum Sultan Mahmud Iskandar Ibni Al-Marhum Sultan Ismail selepas solat semalam.

RINGKASAN :-
PERATURAN PAKAIAN DI DALAM TEMPOH BERKABUNG BAGI PEGAWAI DAN KAKITANGAN KERAJAAN NEG. TERENGGANU

BERIKUT ADALAH PERATURAN BERPAKAIAN DI DALAM TEMPOH BERKABUNG BAGI PEGAWAI DAN KAKITANGAN KERAJAAN NEG. TERENGGANU

LELAKI

  •       ISLAM  - BERSONGKOK DENGAN LILITAN REBEN PUTIH BERUKURAN 1 INCI

  •       BUKAN ISLAM - BERTALI LEHER HITAM ATAU LILITAN REBEN BERUKURAN 1 INCI DI    LENGAN

WANITA

  •       ISLAM - BERSELENDANG PUTIH

  •       BUKAN ISLAM - LILITAN REBEN HITAM BERUKURAN 1 INCI DI LENGAN


Unit Komunikasi Negeri

2 comments:

komen jangan tak komen ;)